GOMBAK,
30 Okt: Umno BN berjaya mencapai kemenangan dalam
pilihanraya-pilihanraya lalu disebabkan perlaksanaan 21 strateginya sejak dulu
yang terus meletakkan rakyat terutama orang-orang Melayu berada dalam
kejahilan.
21 strategi tersebut merupakan perlaksanaan dasar-dasar yang
tidak islamik termasuk dasar pendidikan kebangsaan yang berasaskan
sekularisme.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik
berkata, selain itu, Umno BN turut meletakkan orang-orang Melayu terus dalam
kejahilan menerusi perlaksanaan sistem ekonomi yang tidak
islamik.
Menurut beliau, manakala antara dasar-dasar lain pula
termasuklah perlaksanaan dasar pelancongan, hiburan yang melalaikan dan
sosial.
Katanya, keadaan itu ditambah lagi dengan penguasaan Umno BN
terhadap media sehingga menyebabkan rakyat gagal mendapat maklumat yang benar
dan adil.
"Itulah strategi Umno yang telah kita kenal pasti. Menerusi
dasar-dasar itu, Umno turut berjaya mengikat para pegawai kerajaan agar terus
menyokongnya.
"Fokus kita pula adalah dakwah. Tapi bagaimana nak buat
kalau ilmu dan kebenaran tak boleh disebarkan dalam masyarakat," katanya pada
Forum Tarbawi: Masa Depan Perjuangan PAS Dalam Landskap Politik Semasa di Dewan
Datuk Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di
Taman Melewar, di sini, semalam.
Selain beliau, turut menjadi ahli panel
pada forum itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, manakala moderatornya
Pengarah Akademik Kepimpinan Pemuda PAS Malaysia, Nazri Chik yang juga Exco
dewan tersebut.
Forom tersebut diadakan sempena Ijtima' Tarbawi Pemuda
PAS Peringkat Kebangsaan 2011 anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia yang berlangsung
selama 3 hari bermula semalam, dengan disertai ribuan pemimpin pemuda PAS
termasuk di peringkat pusat, negeri-negeri dan kawasan-kawasan di seluruh
negara.
Menurut beliau, walaupun begitu, PAS mesti terus bangkit untuk
mengatasi masalah itu demi mendaulatkan Islam di tanah air dan bagi kepentingan
seluruh akyat negara ini.
Katanya, matlamat perjuangan PAS adalah untuk
menegakkan Islam sebagai ad-deen di negara ini sejajar dengan kedudukannya
sebagai gerakan Islam, manakala perjuangan PAS pula menerusi dakwah dan
politik.
"Gerakan dakwah PAS adalah untuk membawa orang ramai khususnya
yang bukan Islam mengenali tauhid, manakala kepada sesama umat Islam pula supaya
mengenali syariat Islam," katanya.
Usaha tersebut, tegasnya, mestilah
dilakukan secara berterusan tanpa mempedulikan segala halangan yang dibuat oleh
Umno BN bagi menyekat perkembangan Islam di negara ini.
Menurutnya,
sehubungan itu, PAS perlu menyusun strategi tersendiri untuk mengatasi segala
halangan itu seiringan dengan perjuangan politiknya termasuk dengan mengadakan
"Tahaluf Siyasi" dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.
"Pihak mmusuh
tidak akan berhenti untuk melemahkan gerakan Islam. Gerakan kita mestilah ada
pertimbangan untuk menghadapi segala tekanannya," katanya.
Jika PAS,
tegasnya, hanya memfokuskan kepada gerakan dakwah sahaja seperti yang dilakukan
oleh sesetengah gerakan Islam lain sama ada di tanah air dan di seluruh dunia,
ia pasti tidak berkesan.
"Sekiranya kita hanya memfokuskan kepada gerakan
politik sahaja seperti juga yang dilakukan oleh sesetengah gerakan Islam lain di
tanah air dan di seluruh dinia serta hanya bersendirian, nasib kita nanti
samalah seperti Taliban," katanya.
|