TASEK
GELUGOR, 30 Okt: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata,
kerajaan negeri berjaya mengurangkan hutang negeri sebanyak 95 peratus iaitu
penurunan kadar pinjaman dari RM630 juta kepada RM30 juta setakat
ini.
Baginya, penurunan kadar hutang itu satu kejayaan bagi Kerajaan
Pakatan Rakyat setelah tiga tahun mengambil alih pemerintahan dari Barisan
Nasional (BN).
"Rakyat jangan risau lagi tentang hutang kerajaan negeri
yang dulunya begitu banyak tetapi hasil daripada jimat cermat dalam urus tadbir,
kita berjaya membayar balik pinjaman kepada Bank Negara. Semua itu berpunca
dari amalam yang bersih tidak mengamalkan rasuah," jelasnya semasa berucap pada
program ceramah perdana bersama Menteri Besar Kelantan di Dewan Besar Sungai
Dua, Tasek Gelugor, malam tadi.
Menurut beliau lagi, selama tiga tahun
kerajaan negeri terpaksa berhemah dalam belanjawan Pulau Pinang sehingga
menyebabkan lebihan yang akhirnya dikembalikan kepada rakyat dan pembangunan
tempatan.
Katanya, berbanding dulu bebanan hutang kerajaan negeri begitu tinggi
sehingga menyebabkan belanjawan defisit. Kesannya, kata beliau Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sendiri hampir
bankrap.
Sekarang ini, katanya Kerajaan Pusat berhutang sebanyak RM456
bilion untuk pembangunan termasuk kegunaan agensi kerajaan. Hasilnya, kata beliau setelah dikira setiap individu rakyat negara ini
terpaksa menanggung hutang sebanyak RM16,300 seorang.
"Rakyat jangan
berbangga dengan BN yang memperuntukkan RM500 kepada isi rumah yang
berpendapatan bawah RM3,000 dalam belajawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak. “Apalah sangat wang RM500 walhal kita menanggung RM16,300 selagi kerajaan
tidak berjaya mengurangkan perbelanjaanya," terang beliau yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri Air Putih. |