KUALA LUMPUR, 30 Okt: PAS mempersoal adakah benar kononya
Umno mahu memperjuangkan Islam sedangkan parti itu hanya diam membisu ketika MCA
sedang berpesta menghina Islam.
AJK
PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, kenyataan menghina Islam terbaru dari Presiden
MCA, kononnya hukum Islam menjejaskan ekonomi dan membawa kemunduran, seperti
"direstui" Umno dan NGO yang pro mereka.
"Di mana suara Umno ketika MCA
biadab dengan Islam? Di manakah NGO Pro-Umno ketika pemimpin MCA menghina Islam
degan penuh emosi? Kenapa mereka menikus?
"Apakah MCA berani menghina
Islam kerana diberi lesen oleh Umno? Kenapa Umno tidak memberi amaran kepada
MCA?," soalnya bertubi-tubi melalui satu kenyataan kepada Harakahdaily hari
ini.
Beliau mengulas kenyataan terbaru Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang
mendakwa jika hukum Islam dilaksanakan, ekonomi negara akan terjejas dan akan
membawa kemunduran kepada negara.
Menurutnya, adalah tidak mustahil
tindakan 'tutup mulut' oleh Umno itu kerana ada kepentingan politik tertentu
disebaliknya walaupun sanggup melihat sahaja Islam dihina.
"Apakah kerana
takut kehilangan pengaruh dan meraih undi, maka Umno membisu, asalkan matlamat
politik mereka tercapai walaupun Islam dihina.
"Cuba bayangkan jika
kenyataan ini dikeluarkan oleh pemimpin DAP atau pemimpin PKR, maka sudah tentu
akan diadakan demontrasi di KOMTAR Pulau Pinang oleh tukang juak-juak mereka,"
ujar bekas ketua penerangan PAS itu lagi.
Kenyataan menghina Islam oleh
presiden parti komponen BN itu menurut Idris, bukan pertama kali malah ketika
pilihanraya kecil Tenang beliau menghina Islam apabila menghina calon PAS, Cikgu
Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki.
Beliau turut
mempersoal dimanakah suara NGO Umno yang berkobar-kobar untuk mempertahankan
Islam ketika program HIMPUN di Shah Alam 22 Oktober lalu.
Katanya, amat
malang jika kita marah kepada orang lain menghina Islam tetapi pada masa yang
sama 'memberi lesen' pula kepada MCA berbuat demikian.
"Setakat hari ini
kita belum dengar lagi suara Perkasa, YB Zulkifli Nordin, Dr Rhidwan Tee, Tan
Sri Ibrahim Abu Shah dan kuncu-kuncu mereka.
"Amat malang kepada kita
jika kita ada orang yang mempunyai otak asabiah yang membuta tuli seperti ini.
"Kita akan dengar lagi selepas ini kenyataan yang lebih dahsyat kepada
Islam, jika pemimpin MCA melihat sokongan orang bukan Islam masih tidak lari
daripada menyokong Pakatan Rakyat menjelang PRU 13,"
katanya.
|