KUALA LUMPUR, 30 Okt: Dakwaan kononnya
perlaksanaan undang-undang Islam menakutkan pelabur adalah pembohongan, kata
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu."Kita ambil Iran sebagai contoh.
Walaupun melaksanakan undang-undang Islam, negara itu menerima pelaburan
langsung asing (FDI) sehingga US$3.6 bilion tahun lalu."Jika kuasa-kuasa
besar tidak memaksakan sekatan atau sanction ke atas Iran, adalah diyakini jauh
lebih banyak FDI melimpah masuk ke negara itu," katanya.Presiden MCA,
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam dilaporkan mendakwa perlaksanaan undang-undang hudud akan
menyebabkan negara ini mundur serta menakutkan pelabur asing dan
pelancong."Sekarang zaman maklumat di hujung jari, Dr Chua jangan
menghina dirinya sendiri dan menyerlahkan kepada umum bahawa beliau tidak tahu
apa-apa."Walaupun melaksanakan undang-undang Islam, berjuta-juta
pelancong membanjiri Iran dan dalam tahun 2010
sahaja, 400 hotel dan 200 hotel apartment dibina untuk menampung keperluan
pelancong ke negara itu," katanya.Dari segi kemajuan pula, kata Mohamad,
lebih baik Dr Chua tutup mulut."Ketika Malaysia tidak habis-habis
didedahkan membeli senjata dengan harga yang berlipat kali ganda lebih mahal
dari pihak luar, penganalisis Barat percaya Iran mampu menghasilkan bom nuklear dalam masa dua tahun kalau ia
mahu."Negara mundur tidak mungkin boleh membuat senjata malah tak
habis-habis membeli senjata dari orang lain dengan harga yang belipat kali ganda
lebih mahal."Mungkin kena tipu atau pemimpin yang menipu rakyat melalui
pembelian mahal berlipat kali ganda itu kerana memang menjadi perangai pemimpin
negara mundur suka menipu rakyat," kata beliau.Mohamad menyifatkan
kenyataan Dr Chua itu membuktikan pemikiran beliau serendah pemikiran ketua
cawangan Umno."Dr Chua mungkin hendak menghina undang-undang Islam
dengan kenyataannya itu."Hakikatnya, beliau menghina dirinya sendiri
dengan menelanjangkan kemunduran fikirannya dan undang-undang Islam tidak
terjejas dengan kenyataannya itu," kata beliau.Mohamad mengingatkan,
undang-undang Islam tidak hina atau menjadi tidak bertamadun dengan penghinaan
orang-orang yang menghinanya."Undang-undang Islam berdiri dengan
kekuatannya sendiri."Penghinaan si penghina tidak menjadikan ia hina dan
ia tidak juga hebat hanya kerana pujian orang. Ia hebat kerana kehebatannya
sendiri," tegas beliau.
Mohamad juga yakin, provokasi dan penghinaan berterusan akan mendorong
majoriti umat Islam negara ini menggunakan hak demokrasi mereka untuk memilih
perlaksanaan undang-undang Islam. "Saya yakin sangat, semakin dihina dan dicerca, semakin ramai umat Islam
negara ini yang berazam mahu menggunakan hak demokrasi mereka sebagai majoriti
untuk memastikan perlaksanaan undang-undang Islam," kata
beliau. |