KUALA LUMPUR, 31 Okt: PAS mengecam
tindakan melampau Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang cuba mencetuskan polemik dan sikap benci-membenci dan
mencurigai antara agama dalam kenyataannya memburukkan undang-undang Islam,
terutamanya hudud.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
(gambar) berkata, Chua akhir-akhir ini telah banyak mencerobah
dasar-dasar Islam dalam komentarnya yang melampaui batas susila bermasyarakat
yang menjamin kebebasan beragama dan saling menghormati antara agama. Lebih malang kini, kata Tuan Ibrahim ialah sikap Umno yang menjadi tulang
belakang BN yang diam membisu terhadap beberapa kritikan melampau parti-parti
dalam komponen BN terhadap ajaran Islam. “Sikap lepas tangan Perdana Menteri dan para pemimpin Umno menggambarkan Umno
hanya berminat menjaja isu agama sebagai modal politik daripada menjamin sikap
hak beragama dilaksanakan,” kata beliau. PAS, katanya menyangkal keras kenyataan Chua bahawa dengan pelaksanaan hukum
hudud menyebabkan pelabur tidak akan datang dan menakutkan masyarakat bukan
Islam. Tambahnya, sedangkan Arab Saudi yang melaksanakan sistem perundangan Islam
menjadi rakan pelabur utama China dan negara Barat. “Para pelabur sangat mengharapkan satu jaminan keselamatan terhadap pelaburan
mereka dan ini dibuktikan dengan kejayaan pelaburan mereka di negara yang
melaksanakan syariat Islam. “Sikap hormat terhadap agama lain untuk mempraktik ajaran masing-masing tidak
pernah dibantah oleh umat Islam dan inilah intipati kepada teras perpaduan
negara. Namun PAS kesal sikap campurtangan melampau beliau akan mencetuskan
polemik dan sikap benci-membenci dan mencurigai antara agama,” terang Tuan
Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga menyelar kejahilan
Chua dengan memberikan contoh kemajuan negara Iran yang turut melaksanakan
undang-undang Islam dalam pentadbirannya. "Kita ambil Iran sebagai contoh. Walaupun melaksanakan undang-undang Islam,
negara itu menerima pelaburan langsung asing (FDI) sehingga US$3.6
bilion tahun lalu.
"Jika kuasa-kuasa besar tidak memaksakan sekatan atau
sanction ke atas Iran, adalah diyakini jauh lebih banyak FDI melimpah masuk ke
negara itu," katanya. Menurut Tuan Ibrahim, apa yang mendukacitakan dalam kenyataan Chua ialah
kebimbangan beliau kepada pelaksanaan hukum Islam yang hanya akan dikenakan
kepada umat Islam sahaja; yang bertujuan menyelamatkan masyarakat dan negara
dari kejahatan penjenayah samada terhadap harta atau nyawa dan keselamatan
masyarakat. “Kejahilan akibat berkawan dengan Umno menyebabkan beliau yang gagal
menyelesaikan masalah dalaman MCA, beliau kini cuba menyembunyikan kelemahan
pentadbirannya dan menarik sokongan masyarakat Cina dengan menyerang hukum
Islam,” kata beliau. Tuan Ibrahim juga menambah tindakan bacul Chua hanya menambah kebencian
masyarakat pelbagai kaum di negara ini terhadap MCA. “Sebab sebahagian rakyat sudah tidak terkejut kerana umum mengetahui ia
datang daripada seseorang yang mempunyai latar belakang yang tidak melayakkan
seseorang menjadi pemimpin berwibawa,” terang
beliau. |