Broslam.com
              Bersama Kepimpinan Ulamak    
                    SEMBAHYANG LAH KAMU SEBELUM KAMU DI SEMBAHYANGKAN                 
 Web Hosting
Bajet tambahan tampung ‘tiris’
SAFAR JUMAAT 

RAKYAT perlu ada rasa gusar dengan pembentangan Bajet 2012 kerana sistem penyampaian yang seringkali dicurigai kerana pengalaman lampau membuktikan, golongan sasaran tidak menikmati apa yang diumumkan Perdana Menteri.

Ambil contoh Bajet 2011, apakah semua yang disasarkan sudah selesai? Atau masih ada yang tersangkut? Kalau tersangkut, kenapa dan di mana duit yang diperuntukan itu?

Apakah masih ada atau, duitnya sudah lesap entah ke mana! Pertanyaan ini berasas, kerana masih ada sekolah yang sepatutnya siap pembinaannya tahun 2011, khabarnya baru siap sekitar 50 peratus dan bagaimana kesudahannya?

Satu masalah besar di kalangan pegawai kerajaan yang menjadi pelaksana Bajet 2012 ini ialah ketirisan. Sejak sekian lama dan dengan sokongan laporan audit mengesahkan bahawa setiap kali Bajet dibentangkan, isu ketirisan ini tidak pernah ia dapat dielakkan.

Satu lagi, setiap kali suku ketika penggal Parlimen, pasti akan ada pembentangan Bajet Tambahan yang bukan sedikit jumlahnya kerana wang yang dibelanjakan terlebih dari sasaran awal, dengan pelbagai alasan untuk menghalalkannya, termasuk kenaikan harga barangan dan kos pengurusan.

Cerita tiris di tengah jalan ini biasanya dikaitkan dengan pegawai kerajaan tetapi dalam masa yang sama, banyak juga projek-projek yang gagal kerana diberikan kepada mereka yang tidak layak, termasuk kroni dan saudara-mara mereka yang berkuasa untuk meluluskan projek.

Apakah Najib mampu memantau kesemua perkembangan dan penyampaian ini atau beliau akan mengadakan satu atau dua kali mesyuarat yang dipengerusikannya bagi menunjukkan beliau serius untuk memantau sistem penyampaian ini.

Dari beberapa kejadian dan beberapa kes yang sedang dibicarakan, Najib sepatutnya lebih serius menjawab keresahan rakyat ini kerana segala kelemahan terhadap sistem penyampaian ini akan menyebabkan kos meningkat dan wang rakyat disalah gunakan untuk membayar segala kelemahan kerajaan ini.

Satu perkara lagi, beberapa kementerian nampaknya terpaksa menjalankan kempen dan membeli iklan dengan harga yang terlalu mahal hanya kerana mahu menunjukkan mereka bekerja dan perlu memberi tahu rakyat yang mereka sedang bekerja.

Ambil contoh Felda misalannya. Berapa banyak wang yang digunakan untuk membeli iklan, menaja program di radio dan menaikkan signboard yang besar hanya mahu menjawab kritikan dari anak-anak peneroka yang sangsi dengan cara perbelanjaan Felda selama ini.

Begitu juga dengan Kementerian Kesihatan. Berapa banyak mereka beli iklan untuk kempen tidak merokok dan pelbagai iklan lagi.

Kementerian Pengangkutan dulu pernah menghabiskan wang yang banyak untuk kempen berkongsi kereta dan macammacam kempen lain.

Ini adalah antara contoh bagaimana mereka menggunakan wang secara tidak cerdik sedangkan wang itu boleh digunakan untuk tujuan lain, bagi manfaat rakyat.

Najib sepatutnya melihat bagaimana wang dibelanjakan beberapa tahun lalu, selepas bajet dibentangkan dan sebolehbolehnya tidak membenarkan kesilapan yang serupa berulang.

Malangnya, kesibukan Najib membuat lawatan ke luar negara, sama ada untuk tugasan rasmi atau lawatan peribadi, menyebabkan 365 hari setahun yang Najib ada, tidak dapat dipenuhi untuk tujuan membangunkan negara.

Sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno, Najib kelihatan aktif bergerak. Mengadakan macam-macam program kemasyarakatan, termasuk mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan twitter dan Facebooknya, tetapi dalam masa yang sama, Najib kurang mempunyai masa untuk mengadakan pertemuan dengan pergerakan pemuda Umno dan kepimpinan Umno yang diketuainya.

Apa sebabnya Najib takut untuk mengadakan pertemuan dengan pergerakan Pemuda Umno dan kepimpinan Umno di peringkat bahagian-bahagian, tidak diketahui, kecuali mereka yang duduk dalam rangkaian sahabatnya, sering bertemu dengannya kerana memenuhi jemputan sempena hari ulang tahun kelahirannya, majlis berbuka puasa dan rumah terbuka.

Jika Najib boleh mengadakan mesyuarat sekali dua, bagi memantau kementerian yang beliau naunginya termasuk Kementerian Kewangan, bagaimana pula dengan kementerian-kementerian lain yang mempunyai agensi yang besar dan sukar dikawal?

Mampukan isu PATI diselesaikan dalam tempoh setahun ini kerana PATI akan terus masuk ke Malaysia kerana mereka dijanjikan “syurga” di sini, tanpa mengetahui sudah ada pemutihan dilaksanakan.

Selagi isu ini gagal diselesaikan, selagi itulah hak rakyat tempatan terhakis kerana rakyat asing kelihatan bebas berniaga di mana-mana dengan “bantuan” daripada PBT sedangkan rakyat tempatan sering dihambat pihak penguatkuasa.

Isu tukang gunting rambut dari kalangan warga asing, pekerja tempat mencuci kereta dikuasai rakyat asing, pekerja hotel, restoren dan perladangan yang dikuasai pendatang asing sebenarnya sudah cukup menggugat peluang pekerjaan rakyat tempatan.

Walaupun SPRM sudah mengakui bahawa kesedaran rakyat terhadap bahaya rasuah semakin meningkat, tetapi ia bukan bererti rasuah sudah semakin berkurangan. Selagi rasuah tidak dapat dihapuskan selagi itulah apa yang dirancangankan, tidak akan berjaya.

Kenaikan kos pembinaan dan kesukaran menjayakan sistem penyampaian akan terus berlaku selagi rasuah bebas di setiap penjuru.

Pihak yang mengambil kesempatan atas bantuan kerajaan ini tetap mengaut keuntungan besar seperti mana yang berlaku ketika kerajaan memperkenalkan rebet terhadap pembayar cukai jalan dahulu yang menyebabkan syarikat insuran kaya-raya.

Tidak hairan selepas ini, apabila diperkenalkan bantuan RM100 kepada setiap pelajar dan skim voucher RM200 untuk membeli buku kepada pelajar IPT akan menyebabkan pembekal keperluan sekolah seperti beg, kasut dan pakaian menaikkan harga sesuka hati kerana tahu ibu bapa membeli barangan itu dengan duit bantuan kerajaan.

Apakah ada kuasa kerajaan memantau kenaikan harga barangan keperluan sekolah ini? Tentulah jawapannya tidak kerana pihak berkuasa seolah-olah takut untuk bertindak ke atas peniagapeniaga ini.

Jadi, kalau Najib serius untuk menjayakan apa yang dibentangkannya, kurangkanlah lawatan ke luar negara dan beliau sendiri mengamalkan sikap jimat cermat dalam beberlanja . Ini bagi menunjukkan sikap kepimpinan melalui teladan.

Jika beliau terlalu boros, membiarkan rasuah berlaku di depan mata dan tidak bertindak atas ketirisan yang berlaku, apa sahaja yang dibentangkan, tidak akan sampai kepada golongan sasaran sebaliknya, ia tertumpah di tengah jalan.

 
Bookmark and Share
 
 
    
                                                                                                http://www.broslam.com

  
Document made with KompoZer