KUALA LUMPUR, 31 Okt: PAS akan mengemukakan satu
petisyen kepada Majlis Raja-Raja dan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung
pembaziran dan salah urus kewangan negara seperti didedahkan Laporan Ketua Audit
Negara 2010.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, petisyen itu
merupakan suara bantahan dari rakyat yang akan dikumpul melalui satu laman web
yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.
"Kita akan lancarkan petisyen
dalam internet...dalam tempoh seminggu dua lagi.
"Kita akan kumpul
nama-nama rakyat dan bawa kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang
media di Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena
berkata petisyen itu bagi memberi maklum kepada Tuanku dan bagaimana baginda
boleh bertindak atas bidang kuasa baginda untuk menasihatkan
kerajaan.
"Audit ni macam buku laporan murid sekolah la. Kalau tengok
banyak merah tentu mak ayah kecewa. Sama la dengan rakyat yang kecewa dengan
prestasi kerajaan dalam laporan audit itu.
"Sebab itu perlu ada satu
tindakan dari Yang Dipertuan Agung. Pendedahan ini sangat berat," katanya
merujuk kepada kepincangan pengurusan wang negara yang didedahkan oleh laporan
audit itu.
Ditanya tuntutan petisyen itu sampai ke tahap mana, Mahfuz
berkata sehingga "PM lepaskan jawatan, kerana ini satu kegagalan seorang
PM".
"Kalau dalam syarikat korporat, jika berlaku kerugian, CEO mesti
bertanggungjawab dan perlu melepaskan jawatan tukar orang lain,"
tambahnya.
|