KUALA
LUMPUR, 2 Nov: Sekadar meyakinkan 450 orang untuk kembali dan bekerja
di negara ini masih tidak sepadan peruntukan besar kepada Talent Corporation
Malaysia Berhad (TalentCorp), kata Naib Presiden PAS, Salahuddin
Ayub.
"Memang patut ada usul potong gaji Perdana Menteri di Dewan Rakyat.
Dialah dahulu yang cakap berdegar-degar tentang TalentCorp," katanya merujuk
kepada cadangan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk mengemukana usul untuk
memotong gaji Perdana Menteri ekoran 'masalah dan kepincangan' yang berlaku
sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjawat jawatan itu pada April
2009.
Malah, kata Salahuddin lagi, dalam Bajet 2011 yang dibentangkan
tahun lalu, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan memperuntukan sejumlah yang
begitu besar kepada TalentCorp dan kemampuan meyakinkan 450 orang dalam tempoh
setahun untuk kembali dan berkerja di negara ini amat tidak sepadan dengan
peruntukan yang sangat besar itu.
"Malah, dakwaan itu pun masih boleh
dipertikaikan. Adakah yang dibawa balik itu benar-benar diperlukan oleh negara
ini atau adakah yang pulang itu terdiri dari golongan yang sudah tidak ada
peluang lagi berkerja di luar negara?" kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu
ketika mempertikaikan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk
Seri Idris Jala semalam mengenai apa yang disifatkan sebagai kejayaan
TalentCorp.
Menurut Salahuddin, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa
ramai tenaga kerja professional termasuk para jurutera yang berkerja di
negara-negara Eropah yang terpaksa pulang ke negara ini akibat kemelesetan
ekonomi yang sedang melanda negara-negara itu kini.
"Sebab itulah kita
tidak yakin bahawa yang bersetuju pulang untuk berkerja di Malaysia itu
benar-benar pakar yang diperlukan kepakaran mereka oleh negara ini walaupun
Idris mendakwa mereka akan pulang di bawah REP (Program Kepulangan Pakar)," kata
beliau.
Lebih menghairankan, kata Salahuddin, mengapa perkara itu tidak
dinyatakan oleh Timbalan Menteri di JPM, Datuk S K Devamany dalam jawapan kepada
soalan beliau di Dewan Rakyat, Isnin lalu.
"Adakah Idris seorang sahaja
yang tahu angka itu sehingga perkara itu tidak dinyatakan dalam jawapan Devamany
kepada soalan saya? Hanya menteri sahaja yang tahu dan timbalan menteri tidak
tahu walaupun sama-sama di JPM?
"Saya benar-benar berharap Idris tidak
memetik angka itu dari langit!" kata beliau.
Dalam jawapannya itu,
Devamany berkata, dianggarkan 800,000 hingga 1.4 juta rakyat Malaysia bekerja di
luar negara sehingga April tahun ini berdasarkan angka yang dikeluarkan Bank
Dunia berikutan kajian bersama dengan Unit Perancang Ekonomi,
JPM.
"Jumlah tersebut amat besar dan TalentCorp yang ditubuhkan kononnya
untuk memujuk mereka pulang juga terus dikecam, mendapat liputan buruk,
dipersoalkan di mana blueprint yang siap untuk dilaksanakan malah ada taklimat
TalentCorp di luar negara yang menjadi bahan ketawa dan diperlekehkan
habis-habisan sehingga TalentCorp digelar Talent Corpse (corpse maknanya
mayat).
"Malangnya, bila saya tanya mengenai TalentCorp, jawapan yang
saya terima tidak memuaskan malah dianggap sambil lewa oleh penyokong kerajaan
sendiri," kata Salahuddin.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul
Ghapur Salleh menyifatkan Devamany tidak menjawab soalan.
"Seronok kita
dengar jawapan daripada Yang Berhormat Timbalan Menteri. Akan tetapi TalentCorp
ini berupaya atau tidak sebab Yang Berhormat Timbalan Menteri tidak menjawab
soalan," katanya.
Ahli Parlimen Barisan Nasional itu juga menuntut supaya
diberitahu mengapa rakyat Malaysia yang berkerja di luar negara itu tidak mahu
pulang dan berkerja di Malaysia sedangkan ada di antara mereka yang menerima
biasiswa.
"Ini soalan yang kita mahu tahu kalau setakat sambil lewa
memang kita tidak akan mendapat soalan yang betul. Jadi tambahan soalan ini
daripada JPA, dibagi biasiswa JPA kemudian berapa banyak dan kenapa mereka tidak
mahu balik?" kata Abdul Ghapur.
|