KOTA BHARU, 2 Nov: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad
Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra menyeru remaja Kelantan menjadikan para sahabat
Rasulullah sebagai idola mereka. Titah baginda, nama-nama besar seperti Saad bin Abi Waqas, Talhah bin
Ubaidillah dan Zubair Al-Awam adalah antara belia kental, malah memeluk agama
Islam ketika masih remaja.
Beliau berkata demikian ketika bertitah merasmikan majlis
perasmian penutup Karnival Remaja 2011 anjuran Jabatan Agama Islam Kelantan, di
Balai Islam, Lundang, dekat sini tengahari tadi.
Lebih 1,000 remaja
seluruh Kelantan pelbagai latarbelakang pendidikan yang terpilih menyertai
program itu.
Antara yang hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Pembangunan Islam, Pendidian dan Dakwah negeri, Ustaz Muihammad Mustapha,
Pengelola Istana Kelantan, Datuk Ahmad Mahmood, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Kelantan, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan lain-lain pimpinan.
Titah
Tengku Mahkota lagi, mereka (Saad, Talhah dan Zubair) adalah antara nama-nama
besar dalam sejarah Islam sebagai sahabat Nabi malah kehidupan mereka selepas
memeluk Islam dihabiskan dengan mempertahan agama Allah.
“Remaja Islam
yang masyhur dalam sejarah Islam itu wajar dijadikan idola sekiranya ingin
menjadi seorang remaja yang beriman, bertaqwa dan berakhlak,” titah baginda
lagi.
Pada masa yang sama baginda memuji penganjur yang menganjurkan
program berkenaan memandangkan ianya mampu menjadikan medan dakwah yang
berkesan.
“Usaha dakwah bukan suatu perkara yang mudah, ianya perlu
dilakukan dengan cara yang lebih tersusun bagi mendapatkan hasil yang baik,”
titah Tengku Mahkota. |