KUALA LUMPUR, 2 Nov: Polis perlu cekap bertindak
terhadap pencetus provokasi sebagaimana mereka agresif bertindak kepada himpunan
aman Bersih 2.0, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Beliau mengulas ucapan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas, Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman, Datuk Mohd. Sofian Md. Makimuddin di taklimat Majlis
Penerangan Perdana Peringkat Negeri Sabah seolah-olah apa yang berlaku ialah
kerana Pakatan Rakyat. Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan
dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria. Idris berkata, sedangkan banyak peristiwa-peristiwa yang bersifat provokasi
dimulakan oleh penyokong Umno antaranya demo memijak kepala lembu di Shah
Alam. Begitu juga, ujarnya demo menghantar hadiah keranda, kek hitam, bunga hitam,
pakaian dalam wanita dan usung keranda di Pulau Pinang. Menurutnya, sudah berpuluh-puluh demo yang diadakan seolah-olah mereka
dilesenkan walaupun ia boleh membawa kepada kekacauan kaum. Terbaru, tambahnya demo Mat Rempit di Pulau Pinang yang dikaitkan dengan
seolah-olah kerajaan Pakatan meminggirkan Melayu. “Syukur kepada Allah kerana penyokong Pakatan tidak melatah kerana tahu
bahawa ini adalah perangkap,” katanya kepada Harakahdaily. Sepatutnya, kata beliau polis kena cekap bertindak semacam polis agresif
bertindak kepada himpunan aman Bersih 2.0, kerana ia cukup merbahaya kepada
perpaduan kaum. Tegasnya, polis mesti bersifat profesional di dalam menegakkan undang- undang
dan keadilan. Beliau berkata, polis perlu menjaga keselamatan negara bukan keselamatan
BN. “Siapa sahaja melanggar undang-undang sila bawa ke muka pengadilan tanpa
memilih bulu. “Jangan sampai imej polis dipandang sebagai pelindung kepada BN,”
ujarnya. |