KUALA LUMPUR, 2 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia
(DPPM) menyelar tindakan kerajaan yang tidak menjadikan mata pelajaran
Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri
Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.
Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata,
kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran itu menunjukkan kerajaan tidak berminat
untuk menjadikan umat Islam khususnya generasi muda faham tentang agamanya
sendiri. Menurutnya, meskipun subjek Pendidikan Islam merupakan subjek teras yang
wajib dipelajari oleh murid-murid beragama Islam, namun jika ia tidak dijadikan
mata pelajaran yang wajib lulus, ia tidak mempunyai makna terhadap para
pelajar. Katanya, murid-murid tidak memandang tinggi subjek ini kerana ia tidak
menjadi syarat wajib lulus, bahkan mungkin akan memandang remeh subjek itu. “Dengan sistem pelajaran hari ini yang menjadikan para pelajar sebagai
exam oriented, apakah perlunya para pelajar bersungguh-sungguh
mempelajari mata pelajaran pendidikan Islam?” tanya beliau dalam kenyatan kepada
Harakahdaily. Menurutnya, minda pelajar akan meletakkan subjek lain sebagai keutamaan
seperti Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain lagi. Ujarnya, DPPM juga kesal kerana subjek Pendidikan Islam tidak menjadi syarat
lulus dalam pendidikan di peringkat sekolah menengah. “Dasar ini menjadikan pelajar-pelajar tidak berminat mendalami bidang agama.
Bagi pelajar, Pendidikan Islam adalah mata pelajaran sampingan yang tidak
penting untuk dipelajari,” katanya. Dasar itu, ujarnya menjadikan subjek Pendidikan Islam terpinggir dari jiwa
para pelajar. Justeru, katanya DPPM ingin mengingatkan kerajaan kesan langsung terhadap
dasar itu terhadap masa depan generasi muda negara. Menurutnya, sudah pasti kejahilan akan membelenggui remaja di samping gejala
sosial yang akan meningkat. Tambahnya, golongan remaja akan hilang minat pada agamanya sendiri sehingga
membawa kepada perlakuan yang haram. “Tidak hairanlah, ramai remaja beragama Islam tidak tahu membaca al-Qur’an,
tidak tahu hukum fardhu ain, tidak menunaikan solat, puasa dan lain-lain
lagi. “Lebih menyedihkan ada yang tidak tahu mengucap syahadah. Bahkan ia membawa
kepada krisis akidah yang lebih parah,” ujarnya. Beliau berkata, jika kerajaan benar-benar serius mahu meninggikan syariat
Islam serta memastikan generasi muda tidak tercicir dari kejahilan terhadap
agamanya sendiri, subjek Pendidikan Islam wajar diangkat sebagai subjek teras
wajib lulus para pelajar di semua peringkat. “Subjek ini perlu diangkat sama penting seperti subjek Bahasa Melayu, Bahasa
Inggeris, Matematik, Sains dan lain-lain lag,” katanya. Dengan demikian, menurutnya barulah pelajar akan berusaha bersungguh-sungguh
mempelajari Pendidikan Islam dan mendalaminya sehingga
berjaya. |