|
KOTA BHARU, 20 Jun: Kerajaan Kelantan hari ini secara rasmi
melantik 13 orang timbalan Ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri bagi membantu
exco melaksanakan tugasan.
Majlis Angkat Sumpah jawatan siang tadi
dilakukan di hadapan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang
diadakan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Mereka yang
dilantik, Adun Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad selaku Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Pentadbiran Awan, Pembangunan Tanah dan Wilayah.
Untuk
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, dua
timbalan exco dilantik iaitu Adun Demit, Muhammad Mustapha dan Adun Gual Periok,
Muhammad Awang.
Bagi portfolio Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi,
Kewangan dan Kebajikan, dua timbalan dilantik iaitu Adun Kadok, Azami Mohd Nor
dan Adun Bukit Tuku, Abdul Fatah Harun.
Sementara itu Adun Pulai
Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa
Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat.
Adun Ayer Lanas, Ustaz
Abdullah Yaacob dan Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamad pula dilantik
sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan
Kebudayaan Negeri.
Sementara itu, Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustapha
pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawtankuasa Perumahan, Kerjaraya,
Utiliti dan Alam Sekitar, manakala Adun Mengkebang Abdul Latif Abdul Rahman pula
dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, sukan
dan NGO.
Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim pula sebagai Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, manakala Adun
Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mahmood, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri.
Adun Pasir
Tumboh, Ustaz Ahmad Baihaqi Atiqullah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi
Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat Sains dan Teknologi
negeri.
Perlantikan jawatan berkenaan berkuat kuasa 1 Januari lalu dan
kerajaan negeri menurut Tuan Guru, akan membayar kesemua tunggakan gaji bermula
tempoh kuatkuasa itu.
Tuan Guru ketika memberitahu media juga berkata
kerajaan negeri memahami tanggungjawab exco yang banyak dan mahu timbalan yang
baru dilantik turut membantu.
“Kita tahu bebanan yang ditanggung oleh
anggota exco kita terlalu banyak, siang datang ke pejabat, malam pula keluar
bertugas lagi untuk berceramah.
“Kerja sebegini bukan calang-calang orang
boleh buat, kadang-kadang kena ziarah kematian, kenduri kendara,”
ujarnya.
Katanya, sebelum ini timbalan anggota exco telah pun dilantik,
namun ianya tidak secara rasmi sebagaimana hari ini.
Beliau juga berharap
kesemua 13 timbalan exco yang baru dilantik itu dapat menunaikan tanggungjawab
yang diamanahkan dengan baik. |