KUALA
LUMPUR, 10 Nov: Kerajaan Negeri Kelantan hari ini menyerahkan 'Amanat
Tun Abdul Razak' kepada Perdana Menteri berhubung hak negeri itu mendapat
bayaran 5 peratus royalti petroleum.
Penyerahan itu dibuat Pengerusi
Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa kepada wakil
perdana menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di parlimen hari
ini.
Turut serta dalam rombongan menyerahkan amanat itu, lebih 30 orang
terdiri daripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) serta ahli-ahli parlimen
Kelantan yang masing-masing membawa poster amanat tersebut termasuk Penasihat
DAP, Lim Kit Siang.
'Amanat' itu merupakan jawapan Tun Abdul Razak selaku
perdana menteri terhadap pertanyaan Lim Kit Siang di dewan rakyat pada tanggal
12 November 1975 yang berbunyi;
"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap
negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi
dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri
tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun
kontraktor-kontarktornya,".
Menurut Husam yang juga exco negeri Kelantan,
penyerahan itu dibuat sempena merayakan ulang tahun ke-36 ucapan bekas perdana
menteri ke-2 itu.
Ianya juga sebagai penerusan tuntutan kerajaan negeri
kepada pusat, agar membayar wang 5 peratus yang sekian lama dinafikan
itu.
"Kami berharap dengan pulangnya haji Datuk Seri (Najib Razak)
Perdana Menteri, hati beliau terbuka untuk bayar balik royalti, kerana ini
adalah pesanan Tun Razak, ayahanda beliau," kata Husam pada sidang media bersama
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi parlimen selepas
itu.
Selain
amanat Tun Razak itu, satu surat mengandungi bukti jawapan menteri di Dewan
Negara juga turut diserahkan kepada perdana menteri.
Ianya termasuk
jawapan menteri tidak berpotfolio, Tan Sri Chon Hon Nyan terhadap soalan Senator
Raja Nong Chik Raja Ishak pada 7 Januari 1977.
Jawapan tersebut antara
lain berbunyi;
"Dalam Gerakan mencarigali minyak ini di dalam kawasan
Continental Shelf, hak itu sudahpun diberikan kepada PETRONAS dan PETRONAS
sudahpun mengadakan perjanjian dengan negeri-negeri yang berdekatan dengan dasar
laut itu, sebagaimana saya katakan tadi supaya royalti 10% itu dibahagi kepada
dua pihak".
Satu lagi bukti adalah jawapan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Datuk Kasitah Gaddam pada 4 April 1989 terhadap soalan Senator Tuan
Hassan Harun yang berbunyi;
"Sekiranya minyak diperolehi di kawasan
berhadapan dengan negeri Kelantan, maka Kerajaan Negeri Kelantan akan menerima
hasil royalti sebanyak 5% daripada minyak dan gas yang dikeluarkan sebagaimana
yang diterima oleh negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak".
Telaga
Bumi dan Suria
Selain itu, Kelantan juga menuntut pengeluaran
gas di Telaga Bumi dan Telaga Suria di kawasan bertindih dengan Terengganu yang
beroperasi April lalu juga didaratkan di negeri itu.
Setakat kini
katanya, Petronas pada 24 September lalu telah membuat pengumuman akan
mendaratkan gas tersebut di Kerteh iaitu sepanjang 2000 kilometer pipeline di
lautan.
"Kami sangat berharap gas ini dapat didaratkan di
Kelantan.
"Kelantan telah menyediakan satu zon petroleum industri di
Bachok seluas 2000 ekar dan saya telah menulis surat kepada presiden Petronas
supaya isu pendaratan gas daripada Bumi dan Suria ini dilakukan di Kelantan,"
kata Husam.
|