KUALA LUMPUR, 10 Nov: Kehilangan dana Bajet Wang
Luar Jangka RM1.4 bilion daripada RM1.5 bilion yang diperuntukkan masih penuh
dengan tanda tanya kerana belum terjawab oleh Kerajaan BN.
Sebaliknya
Laporan Ketua Audit Negara berhubung perkara itu cuba disembunyikan oleh pihak
Kerajaan BN sehingga dibangkitkan oleh pihak pembangkang pada persidangan
Parlimen semalam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
kehilangan wang tersebut berjaya dikesan apabila Laporan Audit Negara 2010
berbeza dengan belanjawan yang dibentangkan.
Menurut beliau, ketika
menjawab pertanyaan pembangkang semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang
Adek Hussin menjelaskan, wang itu tidak lesap tetapi jumlah sebenar bagi tahun
2010 telah pun diisi semula melalui Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan
2011.
Katanya, jawapan tersebut bukanlah jawapan sebenar kerana laporan
audit negara mestilah sama dengan belanjawan yang dibentangkan.
"Perkara
ini dibangkitkan oleh Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) dan kemudian dilanjutkan
oleh saya pada persidangan Dewan Rakyat semalam dengan menggunakan peraturan
68A.
"Kumpulan Wang Luar Jangka dan Laporan Audit Negara hendaklah
dibentangkan dan tidak boleh dibahaskan, tetapi yang boleh dibahaskan adalah
belanjawan yang dibentangkan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari
ini.
Bagaimanapun, menurut beliau, ketika menjawab pertanyaan itu, Awang
Adek mengatakan perkara itu telah dibentangkan dan dibahaskan pada persidangan
Parlimen tahun lalu.
Lebih jauh dari itu, Awang Adek turut menuduh pihak
pembangkang sengaja hendak memutarbelitkan fakta-fakta untuk mengelirukan
rakyat.
Katanya, jawapan timbalan menteri kewangan itu ternyata
bercanggah dengan peraturan Parlimen, di samping bercanggah dengan prinsipnya
yang sepatutnya dilihat kepada semua laporan berkenaan.
"Jawapan timbalan
menteri kewangan itu bercanggah dengan peraturan 68A. Sepatutnya beliau menjawab
ada kesilapan yang berlaku, bukannya telah dibahas di Parlimen,"
ujarnya.
Beliau yang juga Ketua Umum PKR berkata, perbezaan laporan audit
negara dan belanjawan itu merupakan kejadian pertama dalam sejarah kewangan
negara dan ia tidak sepatutnya berlaku.
"Jawapan timbalan menteri
kewangan itu tidak menggambarkan kejadian yang sebenar, sebaliknya cuba menyorok
Laporan Ketua Audit Negara.
"Kami sedang menunggu jawapan sebenarnya.
Diharap Perdana Menteri dapat menjelaskannya nanti kerana ini soal perlembagaan
bagi memudahkan perlaksanaan," ujar beliau.
|