KUALA LUMPUR, 11 NOV: PAS hari ini menempelak MCA dan
menyifatkan cadangan parti itu untuk tidak membenarkan rakyat Malaysia yang
tinggal di luar negara, mengundi dalam pilihan raya umum sebagai dangkal dan
cetek pemikiran.
“Kalaulah atas alasan mereka tidak mendapat maklumat
sebenar, maka apa beza dengan masyarakat pedalaman yang hanya mendapat maklumat
sehala dari media perdana sahaja.
Ia juga tidak seimbang dan meragukan,”
kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu
kenyataannya hari ini.
Ketika membentangkan pandangan parti kepada
Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya (PSC), ahli
jawatankuasa pusat MCA, Datuk Ei Kim Hock berkata, cadangan untuk memperluaskan
undi kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara adalah tidak munasabah
kerana mereka menerima maklumat yang "meragukan".
"Pengundi yang menetap
di luar negara tidak harus dibenarkan untuk mengundi," katanya sambil menambah
parti itu memandang serius perkara itu kerana mereka yang tinggal di luar negara
tidak mengikut perkembangan dalam negara dan tidak memahami sepenuhnya keadaan
di Malaysia.
Tuan Ibrahim berkata hujah MCA tidak boleh dipakai kerana
“rakyat Malaysia di luar negara samada sebagai pelajar atau pekerja, mereka
mempunyai akses kepada media baru dan mengikuti perkembangan semasa dalam
negara.”
“Andaian mereka bahawa rakyat Malaysia di luar negara tidak
mengetahui apa yang berlaku dalam negara; seolah-olah menggambarkan MCA sendiri
yang kolot kerana tidak mengetahui perkembangan media baru yang sudah
menjangkaui sempadan global,” selar beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS
Pahang.
Rakyat di mana mereka berada, hujah Tuan Ibrahim kini bebas
mendapat maklumat, bahkan kemudahan media alternatif di luar negara lebih baik
dari kawasan pendalaman yang hanya bergantung kepada media perdana yang dikuasai
oleh BN sahaja.
“Daripada melahirkan kebimbangan terhadap hak undi rakyat
Malaysia yang layak mengundi, lebih baik MCA memokuskan bagaimana untuk
menghalang konspirasi yang membolehkan warga asing mengundi di negara ini,”
tambah beliau.
Tuan Ibrahim juga menasihatkan agar Suruhanjaya Pilihan
Rayat (SPR) tidak menyekat hak rakyat Malaysia walau di mana mereka berada untuk
mengundi sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara.
“Sebarang
usaha menyekat hak mengundi adalah pencabulan prinsip demokrasi yang menjadi
dasar politik negara,” terang beliau
lagi.
|