|
MENGAPA
kerajaan
Umno- Barisan Nasional begitu kelam kabut sehingga hendak menyalahkan
Laporan
Audit, yang mendapati wujudnya salah laku, penyelewengan, salahguna
kuasa, salah guna dana oleh lebih 70 peratus kementerian dan agensi
kerajaan?
Memang Laporan Audit
bukan agenda politik. Ia berasaskan kepada fakta kewangan yang menjadi
badan check and balance kepada sesebuah kerajaan. Tugas audit adalah
untuk memastikan dana kerajaan diuruskan dengan telus oleh kementerian
dan agensi yang terbabit.
Jika wujud sebarang
keraguan terhadap pengurusan kewangan, maka Jabatan Audit mesti membuat
teguran dan menjadi tanggungjawab kementerian dan agensi yang ditegur
untuk memperbaiki kesilapan mereka.
Setiap tahun keluar
laporan, saban tahun teguran dibuat Ketua Audit Negara, tetapi
seolah-olahnya teguran beliau tidak dipedulikan.
Kita sering mendengar
dakwaan pemimpin MB, khususnya dari kalangan Perdana Menteri, Menteri
dan Menteri Besar yang mendabik dada kononnya Umno-BNlah yang pandai
memerintah.
Hari ini terbukti
dengan jelas bahawa tahap akauntibiliti kementerian dan agensi kerajaan
jatuh merudum akibat ketirisan yang berulang saban tahun.
Jumlahnya bukan
sedikit, lebih 70 peratus didapati wujud salah laku dan penyelewengan.
Penyelewengan
bukannya sedikit, jika dicantumkan keseluruhannya mencapai angka bilion
ringgit.
Mengapa wang rakyat
yang jumlahnya besar ini hangus jika ia diurus secara profesional?
Dalam fokus Harakah
kali ini kita tumpukan pula bagaimana pengurusan dan pentadbiran
kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN.
Sarawak dan Sabah
kita belum sentuh lagi secara khusus. Secara umumnya dicatat dalam
laporan audit, Sabah dan Sarawak merupakan negeri yang paling tinggi
kadar kemiskinannya, sedangkan di kedua-dua negeri tersebut terdapat
sumber minyak dan semua orang tahu bahawa pemimpin BN negeri kaya raya.
Jika hendak
disimpulkan secara mudah ialah, kedua-dua negeri ini pemimpin Umno- PBB
yang mewakili BN hidup dengan mewah, sedangkan rakyat bawahan daif dan
miskin.
Justeru, tiada
pilihan lain selain menamatkan riwayat BN di Sabah dan Sarawak.
Kita teliti pula
negeri Perlis, Perak, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan
Johor, secara puratanya Ketua Audit Negara menegur mereka dengan
beberapa kesimpulan yang boleh dibuat antaranya ialah:
i. Hutang negeri
semakin meningkat
ii. Gagal jana
pendapatan negeri
iii. Kadar kemiskinan
tidak dapat diperbaiki dan semakin meningkat
iv. Belanja negeri
dan jabatan tidak berhemah
v. Wujud
penyelewengan yang ketara
Terdesak dengan
kelemahan yang ketara ini terpacul katakata menyalahkan kakitangan
kerajaan, yang dihamburkan oleh menteri. Misalnya Menteri Kewangan II,
Dato’ Seri Husni Hanazlah mengatakan pegawai yang terbabit dengan
penyelewengan akan dikenakan tindakan.
Bagaimana pula jika
pegawai terbabit bertindak di atas tindakan menteri? Siapa pula hendak
disalahkan? Di atas segala kelemahan dan ketirisan ini, adakah wajar
dipersalahkan kakitangan kerajaan dan agensinya?
Kita tidak nafi,
kemungkinan terdapat pegawai yang menyeleweng. Tindakan tegas harus
diambil jika mereka didapati bersalah. Tetapi mereka hanyalah ‘ikan
bilis’. Bagaimana dengan ‘jerung-jerung besar’?
Kata pepatah Cina
‘ikan busuk bermula di kepala’. Siapa ikan busuk yang mengepalai
kementerian dan kerajaan negeri jika tidak Menteri dan Menteri Besar
dari Umno-BN?
Justeru, jika rakyat
tidak mahu makan ikan busuk, mereka tiada pilihan selain daripada
menjatuhkan Umno-BN daripada tampuk kuasa.
Umno-BN tidak layak
memerintah, tidak tahu jadi kerajaan. Yang mereka tahu menjadi tukang
sapu harta rakyat.
|