Cubalah bayangkan jika dalam pilihan raya ke-13 akan datang,
anda memilih untuk mengundi Barisan Nasional. Mungkin kerana anda lebih mudah
terpengaruh dengan isu-isu remeh daripada perkara-perkara utama dan
lebih besar dalam menentukan nasib serta masa depan kita semua.
Walau apa pun alasan yang anda diberikan untuk memilih BN,
beberapa perkara utama sudah hampir pasti akan dilaksanakan oleh kerajaan BN
yang didalangi UMNO yang telah terbukti sanggup berbuat apa sahaja semata-mata
mahu terus bergayut di tampuk kuasa
Tiga kemungkinan besar yang akan berlaku adalah:
1. GST akan dilaksanakan.
Ia adalah goods and services tax (GST) atau cukai
barangan dan perkhidmatan. Jika UMNO-BN menang, maka seluruh rakyat Malaysia
akan terpaksa menanggung cukai ini pada semua barangan harian dan perkhidmatan.
Contohnya, barangan seperti satu pek sabun cuci yang berharga RM10 kelak akan
menjadi RM10.60 (setakat ini cukai perkhidmatan yang dikenakan biasanya 6
peratus).
RM0.60 ini mungkin tidak banyak bagi kita untuk satu jenis
barangan, tetapi cuba anda bayangkan jika dalam satu hari anda perlu membeli 5
jenis barangan yang jumlah puranya RM50, anda akan perlu menambah RM3 untuk
cukai tersebut.
Adakah jumlah ini masih sedikit? Jika dalam seminggu kita
berbelanja RM200 untuk barang keperluan harian, maka jumlahnya akan menjadi
RM12. Bayangkanlah dalam sebulan dan setahun, berapakah jumlah yang kita
terpaksa bayar? Itu belum masuk kos-kos lain seperti bayaran pinjaman rumah,
kereta, motosikal, minyak, servis, tol, telefon dan lain-lain.
Soalannya, ke manakah wang cukai ini akan pergi kelak? Masuk
poket siapa? Dan apa pula yang akan kita (rakyat) perolehi darinya? Adakah
rakyat dijamin akan mendapat mutu perkhidmatan perubatan (hospital) yang
terbaik? Atau adakah kita akan dapat mutu perkhidmatan pelajaran dan pendidikan
yang terbaik? Bayangkanlah jika ini terjadi, siapa pula akan membantu kita?
Setakat ini belum kedengaran kerajaan BN mahu menarik balik
cadangan memperkenalkan GST walau pun banyak pihak telah membantahnya. Yang
diperlukan BN ialah mandat rakyat untuk mengenakan sebanyak mungkin cukai
terhadap rakyat.
Untuk apa kerajaan BN perlukan begitu banyak wang yang terpaksa
dicukai daripada rakyat sendiri? Tepuk dada tanya selera.
2. Kes rasuah dan salah guna kuasa akan terus
berleluasa
Kini isu terbaru membabitkan keluarga menteri UMNO, iaitu kes
National Feedlot Corporation (NFC) yang dianggarkan berjumlah RM280 juta. Wang
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah wang dari cukai rakyat
dan sumber negara. Kontrak pula diberikan kepada syarikat keluarga seorang
menteri. Walau pun dengan alasan syarikat terbabit telah mengikuti segala
prosedur dan mempunyai kebolehan, dari segi etikanya, ia tidak mencerminkan
ketelusan kerajaan dalam membelanjakan wang kita (rakyat).
Itu cuma satu contoh terbaru sahaja. Soal skandal kewangan,
rasuah, penyelewengan kerap berlaku dalam pentadbiran BN. Dalam kes Port Klang
Free Trade Zone (PKFZ), mantan menteri-menteri pun terlibat. Dalam kes mantan
seorang menteri besar yang berumah terlalu besar dan sepatutnya tidak mampu
dimilikinya sudah menjadi kes mahkamah. Tentunya banyak lagi kes sedemikian yang
berlaku kepada pemimpin-pemimpin kerajaan yang terlalu lama memerintah.
Baru-baru ini juga, Ketua Audit Negara telah mendedahkan
pelbagai kes yang melibatkan salah urus hingga menyebabkan kerajaan (wang
rakyat) rugi berbilion ringgit dalam masa setahun.
Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan, antara lain,
telah menyatakan Kementerian Pelajaran adalah antara sembilan
kementerian/jabatan yang mencatat perbelanjaan sebenar melebihi peruntukan.
Hasilnya tidak nampak ke mana kerana pelajar dan guru Malaysia tidak pula
dianggap antara yang terbaik di dunia, kalau tidak pun di rantau Asia
Tenggara.
Laporan itu juga mendedahkan kos pengambilan balik tanah bagi
projek Lebuh Raya Senai-Desaru meningkat hampir 103 peratus dengan kerajaan
terpaksa menanggung tambahan sebanyak RM375.60 juta.
Malah, Ketua Audit Negara juga mencatatkan bahawa sebahagian
besar pembelian dibuat melalui rundingan terus, tidak melalui tender terbuka dan
tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan.
Berikut beberapa barang yang dibeli dengan harga yang tidak
masuk akal sama sekali dilaporkan dalam laporan berkenaan:
• Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran
RM419, untuk membuat roti dan pastri bagi kursus di Kelantan
• Katil boleh lipat berharga RM500 berbanding harga
pasaran RM100
• Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap
satu, dan bukannya RM59.90
• Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga
RM250 setiap satu, dan bukannya RM79
• Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60
Jika mengambil kira wang RM280 juta dalam kes NFC, dicampur
dengan skandal PKFZ yang bernilai berbilion-bilion ringgit itu, serta ditambah
pula dengan ketirisan wang dari laporan Ketua Audit Negara itu, bayangkalah
berapa banyak lagi wang rakyat yang akan hangus jika UMNO-BN terus diberi mandat
untuk mengurus ekonomi negara.
Mengapa kerajaan UMNO-BN membiarkan pembaziran yang amat
dahsyat itu sedangkan masih ramai golongan miskin dan berpendapatan rendah,
khususnya di Sabah dan Sarawak, yang memerlukan pembelaan?
Kata orang dulu-dulu, sudah gaharu cendana pula, sudah tahu
bertanya pula.
3. ISA mungkin dimansuhkan tetapi diganti dengan
undang-undang yang lebih zalim dan kejam
Pada 15 September 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
telah mengumumkan bahawa pentadbirannya akan memansuhkan undang-undang zalim
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Pengumuman itu pada hakikatnya hanya
menyebut ‘akan’ tanpa penjelasan jangka waktu yang sebenar.
Jelas bahawa ia satu mainan politik yang terdesak untuk meraih
undi rakyat. Malah, ISA yang kononnya mahu dimansuhkan itu akan digantikan
dengan dua (2) akta baru yang belum dijelaskan lagi kepada rakyat tentang isi
kandungannya, hatta gambaran kasar tentang undang-undang baru itu juga masih
tidak diterangkan.
Jika anda memilih untuk mengekalkan kerajaan UMNO-BN dalam PRU
akan datang kerana janji-janji Najib, perlu diingat bahawa amat sukar bagi
Perdana Menteri untuk mengotakan janjinya.
Walau pun anda mungkin yakin niatnya baik, pimpinannya kini
dipengaruhi unsur-unsur perkauman yang bersifat fasisme dan menolak perubahan,
termasuk yang mengatakan hak asasi manusia itu adalah ajaran agama baru yang
mengancam keselamatan negara.
Begitu juga reputasi Najib dalam isu perhimpunan aman Bersih
2.0 yang mana beliau telah berjanji untuk memberi kebebasan berkumpul di stadium
tetapi janji hanya tinggal janji.
Malah, tindakan zalim pihak berkuasa yang menangkap rakyat yang
memakai baju kuning serta bertindak ganas pada hari perhimpunan 9 Julai lalu,
membuktikan tidak ada apa-apa perubahan akan berlaku; lebih teruk dikekang
kebebasan jika UMNO-BN diberi mandat sekali lagi.
Kesan dari itulah maka pentadbiran Najib dikecam oleh dunia
kerana gagal bertindak bijak dalam memberi hak kepada rakyat untuk berhimpun
secara aman dan mengamalkan hak kebebasan bersuara.
Pimpinan tunggang terbalik
Malah pentadbiran UMNO-BN telah dilihat sebagai flip
flop atau tunggang terbalik dalam banyak isu penting yang lain, dan semua
ini menjadikan rakyat semakin gelisah seolah-olah tiada kepastian dalam hidup di
bawah pemerintahan yang tak keruan itu.
Contoh paling nyata adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSI). Bila dilancarkan dahulu tanpa
merujuk kepada rakyat, khususnya ibu bapa dan guru-guru serta pelajar,
dicanangkan betapa pentingnya Bahasa Inggeris. Bila mahu dimansuhkan pun dibuat
perkara yang sama, dengan menggunakan alasan mahu memartabatkan Bahasa
Malaysia.
Dalam kes Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) di mana
Mahkamah Rayuan telah pun mengisytiharkan Seksyen 15 (5) (a) yang menghalang hak
mahasiswa untuk mengamalkan hak politik sebagai tidak sah dan melanggar
Perlembagaan Persekutuan.
Sepatutnya kerajaan UMNO-BN menghormati keputusan ini tetapi
sebaliknya mereka berdolak-dalik mencari jalan supaya mahkamah yang lebih tinggi
membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang waras, munasabah dan adil itu.
Berhubung penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen mengenai
Reformasi Sistem Pilihan Raya, Najib sendiri tidak berani memberi jaminan bahawa
PRU ke-13 tidak akan diadakan sebelum jawatankuasa itu selesai melaksanakan
tugasnya untuk memenuhi tuntutan rakyat bagi mewujudkan pilihan raya yang adil,
bersih dan demokratik.
Malah, lebih awal dari itu semua, Najib telah mencanangkan
slogan 1Malaysia apabila menjadi Perdana Menteri. Tak sampai setahun, segala
niatnya dihancurkan oleh kumpulan-kumpulan yang menentang perubahan. Kerana itu
janji Najib amat sukar untuk dipercayai lagi.
Mengapa Perdana Menteri begitu lemah dan takut untuk berhadapan
dengan kumpulan-kumpulan minoriti yang jelas mensabotaj agendanya yang mahu
mendahulukan rakyat, mengutamakan pencapaian itu?
Bayangkanlah betapa mendung dan gelapnya masa depan kita jika
UMNO-BN terus memerintah… – Roketkini.com |