|
KUALA LUMPUR, 28 Jun: Ahli Parlimen Kubang Kerian,
Salahuddin Ayub (gambar) mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan
sesuatu di sebalik isu Jemaah Islamiah (JI) yang ditimbulkan baru-baru ini
apabila meminta pihak polis merahsiakan segala maklumat mengenai isu itu.
Beliau berkata
demikian sebagai mengulas tindakan Speaker Dewan Rakyat menolak di dalam kamar
usulnya mengenai JI yang dihantar minggu lalu atas alasan ianya telah dijawab
oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
minggu lalu.
Katanya, kedua-dua kementerian itu tidak menjawab isu sebenar mengenai
dakwaan wujudnya anggota JI di negara ini.
"Saya merasakan jawapan itu tidak langsung menjawab isu pokok yang sebenarnya
yang mana kenyataan terkini menteri dalam negeri iaitu meminta polis merahsiakan
maklumat mengenai JI ini. Apa yang nak dirahsiakan? Kalau dia merahsiakan ini
apa muslihatnya?" katanya yang juga Naib Presiden PAS.
Beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini juga berkata, tindakan
kerajaan menyembunyikan isu itu dan mendakwa beberapa tokoh ulama di negara ini
terlibat dengan JI semakin menimbulkan tanda tanya di kalangan rakyat.
Dakwaan itu juga, katanya akan menjejaskan iklim pelaburan negara dan
mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.
"Kerajaan perlu mendedahkan kepada rakyat dan masyarakat antarabangsa apakah
benar negara ini menghadapi ancaman JI. Dalam taklimat sebelum ini Ketua Polis
Negara mengaitkan fahaman Wahabi, Salafi, dengan JI dengan keganasan yang tidak
ada asas langsung.
“Kemudian mengaitkan pula beberapa tokoh ulama seperti Dr Asri dan Ahli
Parlimen Marang. Ini akan terus menjadikan isu ini sebagai polemik yang sangat
berbahaya kepada keselamatan negara dan juga kepada iklim pelaburan dalam negara
kita," katanya.
Justeru, beliau sangat kecewa dengan penolakan usul itu kerana berpandangan
Parlimen merupakan tempat terbaik untuk membincangkan isu itu.
"Sebab itu saya minta usul ini dibahaskan supaya ia dapat dijelaskan dalam
tempat yang paling berautoriti dan sekaligus dapat menjawab persoalan yang
menjadi keraguan dan kebimbangan rakyat sama ada Malaysia atau peringkat
antarabangsa dan iklim pelaburan antarabangsa sangat bergantung kepada
kestabilan politik negara kita. Oleh itu, mesti diperjelaskan,” ujarnya.
Beliau juga mencabar kerajaan membawa isu itu ke mahkamah jika benar dakwaan
mereka itu.
"Kalau ada bukti mengenai JI ini bawalah ke mahkamah untuk diambil tindakan.
PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan keganasan termasuk saya sendiri,"
katanya. |