|
KUALA LUMPUR, 29 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
(DPPWP) menyambut baik tindakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjual
semula 2,155,700 unit saham dari syarikat arak Carlsberg Brewery Malaysia
Berhad.
Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, kenyataan Menteri Sumber
Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam di Dewan Negara semalam memberikan gambaran
positif terhadap tindakan PAS yang selama ini menuntut agar Perkeso menjauhi
perniagaan arak demi kepentingan awam yang telah mencarumkan hasil titik peluh
mereka yang halal kepada agensi berkenaan.
DPPWP, katanya menyeru agar semua pemegang saham dalam syarikat-syarikat arak
dan judi di negara ini mengambil langkah yang sama dengan menjual semua saham
dan kepentingan mereka.
“DPPWP juga menyeru kepada kerajaan terutamanya Pakatan Rakyat supaya
mengetatkan penguatkuasaan undang-undang penjualan arak agar ianya tidak dijual
secara terbuka dan dihadkan kepada bukan Islam sahaja,” ujarnya dalam kenyataan
kepada Harakahdaily.
Menurutnya, kewujudan premis penjualan arak serta pemborong juga perlulah
dihadkan mengikut keperluan masyarakat setempat dan tidak diluluskan
sewenang-wenangnya.
“DPPWP juga terus mendesak agar pihak berkuasa kerajaan tempatan di seluruh
negara tidak membenarkan penjualan arak secara terbuka di premis 7 Eleven dan
premis peruncitan yang lain,” ujarnya. |