|
Kebelakangan ini Umno Selangor kelihatan sibuk menganjurkan program yang
mereka kenali sebagai roadshow gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan?
Dianjurkanlah ceramah di sana-sini, dengan pendekar mereka seperti Ezam Md Nor,
Zahid Md Arip selain Noh Omar dan lain-lain bergilir-gilir bersyarah
menghamburkan fitnah dan kata nista kepada musuh-musuh politik mereka.
Selamatkan Selangor dari apa?
Sedangkan pada 8 Mac lalu rakyat di Selangor khasnya bangkit memenangkan
calon-calon PKR, DAP dan PAS kerana mereka sudah bosan dan hilang harapan pada
Umno. Umno pincang, Umno rasuah, Umno gasak harta dan kekayaan negeri, lantas
Umno dan BN ditendang keluar angkara kemarahan rakyat!
Tiba-tiba hari ini tak sampai 29 bulan, Umno seolah-olah bagaikan malaikat
mengajak rakyat mengangkat mereka kembali. Barangkali rakyat Selangor ini sudah
lupa, sudah mengampunkan dosa mereka.
Juga, tak tahulah jika sesiapa ada ambil pusing. Atau memang rakyat Selangor
pun sudah tidak ambil pusing langsung. Ke mana rakan-rakan Umno di Selangor?
Takkanlah kerja nak gulingkan Pakatan Rakyat di Selangor hanya kerja Umno? MCA,
MIC, Gerakan mana? Atau memang mereka sudah cedera parah dan tak bangkit-bangkit
lagi?
Mahukah rakyat Selangor bersama mengharungi gelombang Umno itu?
Kalau dari raut wajah Noh Omar dan Ezam pada siri-siri ceramah mereka, seakan
Pakatan Rakyat sudah hampir tumbang di Selangor esok entahkan Noh entahkan Ezam
bakal jadi MB.
Sewajarnya PR Selangor perlu beri perhatian pada tindak-tanduk Umno itu,
tetapi yang lebih utama adalah bekerja memperkemaskan jentera dan turun ke bawah
bertemu rakyat. Tak mengapalah Umno mahu seronok-seronok pukul curi sana-sini,
tetapi kekuatan kita perlu dipertingkatkan dan jentera perlu terus
diperkemaskan.
Baru-baru ini buat pertama kali di Selangor, pimpinan Penerangan ketiga-tiga
parti peringkat Selangor telah bertemu dengan wakil-wakil jentera penerangan
parti seluruh Selangor dalam sebuah majlis bengkel penerangan PR Selangor.
Beberapa isu berhubung PR Selangor dibincangkan dan dibengkelkan termasuklah
bagaimana cara menambah-baik sistem “delivery” penerangan Selangor agar rakyat
terus bersama PR dan menolak BN.
Ternyata hubungan mesra antara jentera penerangan ketiga-tiga parti sudah
jelas terjalin, ini diperhatikan sepanjang bengkel dan bagi saya ini jugalah
diterjemahkan dalam hubungan sesama PR seluruh Selangor sejak ketiga-tiga parti
menguasai negeri bertuah ini.
Umno boleh ghairah menaruh cita-cita dan impian untuk merampas kembali negeri
ini, itu hak mereka. Tetapi selagi ketiga-tiga parti boleh duduk bersama, mesra
bekerja bagi mempertahankan kemenangan ini dengan jujur dan ikhlas. Noh dan Ezam
boleh terus main gelombang, tetapi kesannya jauh tak mencecah minat rakyat.
Kerajaan PR Selangor akan terus kukuh kerana ia dibina atas kehendak rakyat.
Ia dibina oleh mereka yang menghargai dan menghormati kehendak dan kebajikan
rakyat. Ia mungkin baru tetapi ia tidak pernah dalam tempuh memegang amanah ini
menodai apa lagi menyalah-guna kepercayaan yang diberi rakyat.
Dari angka-angka penganalisa dan pengkaji politik yang diperolehi oleh PR
Selangor penerimaan rakyat terhadap kerajaan ini semakin meningkat, ini
sekaligus menunjukkan yang serangan “senapang-senapang angin” Noh, Ezam dan
rakan-rakan itu sekadar jolokan-jolokan kosong sahaja, namun tidak harus
dipandang ringan.
Agenda utama sekarang adalah bekerja,biarlah mereka dipukul gelombang mereka
sendiri. |