KUALA LUMPUR, 21 Ogos: Bendahari PAS Pusat, Dr
Hatta Ramli yakin, Umno sedang cuba mencetuskan huru hara apabila cuba
membangkitkan isu perkauman pada waktu ini.
Menurutnya, tindakan itu
dibuat supaya Umno dapat mengambil kesempatan selepas kerajaan BN semakin
lemah.
"Kita yakin Umno sekarang dalam keadaan tersepit dan cuba cetuskan
kemarahan kaum.
"Mereka perlu satu keadaan di mana mereka boleh mengambil
kesempatan untuk menarik kembali sokongan rakyat.
"Yang kita risau,
mereka nampaknya cuba bangkitkan isu perkauman," katanya.
Menurutnya,
tindakan paling selamat bagi rakyat sekarang ini adalah berlindung di bawah
payung Pakatan Rakyat yang sentiasa menghormati hak semua kaum.
Umno
melalui medianya Utusan Malaysia didakwa memainkan sentimen itu apabila
menyiarkan tajuk muka depan berbunyi 'Bangkitlah Melayu'.
Sebelum ini,
pelbagai berita provokasi termasuk mendakwa nama Lim Guan Eng diguna
menggantikan nama Yang Dipertuan Agung dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang baru
baru ini.
Padahal ia dinafikan sama sekali oleh kerajaan Pulau
Pinang.
Kerajaan negeri juga melihat terdapat percubaan secara agresif
memburukkan pemerintahan Pakatan Rakyat negeri itu dengan memainkan isu
perkauman.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam
juga turut menyeru rakyat negara agar bertenang dan menilai dengan adil akan
tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno BN.
|