|
KUALA LUMPUR, 25 Ogos:
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, berita yang disiarkan oleh
akhbar The Star semalam tidak menggambarkan kenyataan beliau yang sebenar kepada
media berkaitan dengan hukum hudud.
Dalam satu kenyataannya hari ini,
Mustafa berkata, "Saya hanya sebut secara ringkas sahaja tetapi telah ditarik
begitu panjang dan ada tokok tambah dari akhbar itu."
Berikut adalah
kenyataan beliau bagi menjelaskan perkara ini.
KENYATAAN
MEDIA
Kenyataan yang disiarkan oleh akhbar The Star
semalam tidak memberikan gambaran sebenar apa yang saya sebutkan kepada media
sehari sebelumnya. Saya hanya sebut secara ringkas sahaja tetapi telah ditarik
begitu panjang dan ada tokot tambah dari akhbar itu.
Apa yang saya sebut
bahawa Islam adalah dasar PAS dan PAS tidak berganjak dari dasar perjuangannya
ini.
Apabila ditanya, apakah pendirian Tuan Guru Datuk Nik Aziz itu
pendirian PAS, saya kata ia memang pendirian PAS. Ia saya nyatakan tanpa saya
sebut pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia dan bukan respon kepada kenyataan
mana-mana orang.
Dalam konteks Malaysia yang mengamalkan konsep
federalisme, negeri-negeri mempunyai hak tersendiri. Apa-apa pun yang hendak
dibuat di peringkat negara dan negeri dalam konteks undang-undang, ia mesti
diluluskan oleh Parlimen di peringkat pusat dan DUN di peringkat
negeri.
Contohnya Kelantan dan Terengganu yang membuat enakmen jenayah
syariah. Ia mestilah diluluskan di DUN masing-masing. Undang-undang yang
diluluskan pula terbatas kepada orang Islam sahaja dan tidak dipaksakan ke atas
bukan Islam.
Di peringkat pusat pula, apa-apa yang berkaitan dengan
undang-undang mestilah terlebih dahulu diluluskan diperingkat Parlimen.
Andaikata PAS dan Pakatan Rakyat mendapat kuasa di peringkat pusat, ia juga
perlu melalui proses yang sama sebagaimana undang-undang yang
lain.
Pindaan undang-undang Perlembagaan yang tidak mendapat sokongan 2
per 3, tidak akan boleh berjalan. Pendek kata pelaksanaannya mestilah mendapat
persetujuan rakyat melalui wakil mereka dalam Parlimen. Tetapi menjadi
tanggungjawab kepada PAS yang memperjuangkan Islam yang menyeluruh (syumul)
untuk menjelaskan perkara ini kepada rakyat dan parti yang bersama dengan
PAS.
Sudah tentu kalau ia tidak difahami oleh rakyat atau wakil rakyat,
ia tidak akan mendapat sokongan di Parlimen. Penjelasan mengenainya mestilah
dibuat secara berterusan dan bijaksana.
Memang menjadi keyakinan PAS dan
pengikutnya, ajaran Islam adalah yang terbaik dan PAS sedia berdialog dan
berbincang mengenai hal ini dengan mana-mana pihak.
Perlu juga diingat
soal perundangan ini hanya sebahagian sahaja daripada Islam. Sebab itu kita
perlu sentuh semua hal samada sosial, ekonomi, salah laku, good governance dan
lain-lain. Perundangan satu juzuk sahaja daripada Islam.
Atas dasar itu,
saya tidak fikir hubungan dalam Pakatan Rakyat terjejas dengan hal ini sahaja.
PAS akan terus bekerjasama dalam Pakatan Rakyat bersama dengan PKR dan DAP
kerana kebersamaan kita banyak sebagaimana yang telah kita jelas dalam agenda
bersama Pakatan Rakyat.
Kita akui dengan jujur bahawa kita ada perbezaan
dasar dengan DAP bahkan PKR juga. Tetapi persamaan dalam perjuangan kita untuk
hak rakyat jauh lebih banyak dari perbezaan antara kita.
Tidak seharusnya
perkara ini di salah tafsirkan sehingga boleh jejaskan hubungan baik yang
sedang berjalan sekarang.
Datuk Mustafa Ali Setiausaha Agung
PAS
|