|
KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Timbalan Pengerusi Umno
Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagai meludah ke langit, apabila mendakwa
PAS takutkan DAP berhubung penutupan kilang arak di Selangor.
Yang
Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, Noh yang juga Menteri
Pertanian tidak sedar bahawa perkara dibangkitkan tersebut seperti
meludah ke muka sendiri.
"Saya nak tanya lah, kalau kilang Carlsberg itu tak tutup sebab PAS
takutkan DAP, maka Umno waktu buka kilang tu diorang melutut pada
siapa?" soalnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.
Beliau menyoal demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.
Noh dalam wawancara tersebut secara khusus mengaitkan nama Khalid dalam isu penutupan kilang arak tersebut.
Khalid katanya ada berjanji mahu menutup kilang arak jika Pakatan Rakyat memerintah Selangor, namun belum dibuat.
Khalid bagaimanapun menjelaskan Pakatan Rakyat Selangor masih baru
dan dalam fasa memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu dan tidak
boleh bertindak melulu.
Jelasnya, lawatan ke kilang Carlsberg baru-baru ini kerana mahu
bertanya sama ada pengusaha kilang tersebut mempunyai perancangan untuk
berpindah tapak atau tidak.
"Berbanding Umno, mereka bangga letak kilang Carlsberg di pintu masuk Shah Alam.
"Seperti didedahkan bekas ahli Umno, Saifudin Nasution di parlimen,
pemuda Umno ni 'berenang' dalam arak, sebab itu diorang tak peduli,"
katanya lagi.
Mengulas isu 'berbeza kitab' antara Selangor dan Kelantan yang
dibangkitkan Noh, Khalid berkata bukan kitab yang berbeza tetapi
suasana.
"Saya rasa Noh Omar tak mengaji Siasah Syar'iyyah, ini bukan masalah
kitab berbeza, tetapi suasana dan realiti itu berbeza," katanya.
PAS Selangor, jelasnya sedang berusaha memberi kefahaman berhubung Syariat Islam termasuk kepada bukan Islam negeri itu.
"Bukan orang bukan Islam je menolak Syariat lslam sebab tidak faham, tetapi orang Islam sendiri yang menyokong Umno pun menolak.
"DAP tak halang kita memberi kefahaman Islam tetapi yang banyak halang kita dulu dan sekarang adalah Umno," katanya lagi.
Mengulas kesan kempen 'Selamatkan Selangor' yang dibuat Umno negeri
itu, Khalid berkata beliau yakin rakyat Selangor adalah bijak,
bermaklumat dan mampu menilai.
"Kita tak nampak akan menjejaskan kedudukan kita dan kita tidak akan halang kerja mereka," katanya. |