|
KUALA LUMPUR, 26 Ogos:
PAS mengucapkan tahniah kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga, Tanah
Merah, Kelantan yang sekali lagi memenangi tuntutan saman mereka kepada
Felda yang bernilai RM11 juta di Mahkamah Persekutuan untuk kali kedua,
hari ini.
Pada pertengahan Januari lalu Mahkamah Persekutuan telah membuat
keputusan pertama tetapi Felda berkeras mahu kes ini dibicarakan semula
oleh panel lain.
“PAS mengucapkan syabas kepada kesabaran dan keberanian para
peneroka ini yang menjadi perintis kepada kebangkitan warga Felda di
seluruh negara,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Kini, katanya beberapa peneroka Felda di seluruh negara juga sedang
berusaha menyaman Felda, antaranya adalah 766 orang peneroka Rancangan
Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias mengemukakan tuntutan saman
berjumlah RM200 juta dan Jawatankuasa Kesepakatan Bersama Peneroka
(Sepakat) yang mengemukakan tuntutan berikut:
1. Penggredan Buah Tandan Sawit Segar (BTS) dilakukan dengan telus
mengikut peraturan yang tertera dalam Manual Penggredan Buah Kelapa
Sawit yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), termasuk
penggredan BTS ‘bermutu’, ‘tidak bermutu’ dan muatan ‘ditolak’ yang
menentukan pendapatan peneroka;
2. Pengembalian semula Wang Tabungan Tanam Semula kepada peneroka yang tidak menyertai skim Felda;
3. Penilaian semula levi RM10 sebulan bagi setiap ekar yang dimiliki peneroka;
4. Kebenaran bagi peneroka memiliki lesen MPOB bagi memasarkan sendiri hasil mereka (Akta Tanah GSA 1960);
5. Pengagihan lebihan keuntungan hasil atau bonus tahunan kepada
semua peneroka meliputi mereka yang masih lagi atau sudah tidak
menyertai skim Felda;
6. Menggesa Felda memaklumkan dan meminta pandangan peneroka mengenai
segala perubahan dasar-dasar Felda, terutama yang mempunyai kesan
secara langsung kepada peneroka; dan
7. Pembelian kayu getah dibuat pada kadar harga pasaran (semasa
proses tanam semula, kayu-kayu getah dibeli oleh Felda pada harga rendah
daripada harga pasaran).
PAS, ujarnya menyokong usaha peneroka Felda untuk mendapatkan hak mereka dan membongkar penyelewengan dalam organisasi Felda.
“PAS juga kesal kerana dalam kes Felda Kemahang tiga ini, pada 1 Nov
2002, satu ugutan dibuat dalam satu perjumpaan yang telah diadakan di
Pusat Kegiatan Ummah Felda, Kemahang yang dihadiri Pengerusi Felda
Kemahang Tiga dan Datuk Mustapa Mohamed (MT Umno) yang ketika itu Ahli
Parlimen kawasan Jeli,” ujarnya.
Menurutnya, para peneroka diugut untuk dibuang dari rancangan skim kelompok Felda jika masih meneruskan kes itu di mahkamah.
PAS, katanya berharap perkara itu tidak berlaku dan pihak Felda haruslah menghormati keputusan mahkamah.
Beliau menambah, kini warga Felda tidak perlu lagi menjadi hamba kepada Felda dan mereka perlu berani untuk dapatkan hak mereka.
Mereka juga, ujarnya bebas untuk memilih parti mana yang mereka sukai
untuk diundi dalam pilihanraya akan datang dan PAS sedia memberikan
bantuan kepada mereka.
Katanya, Umno ternyata telah gagal memperjuangkan hak peneroka, dan
PAS bersedia untuk menjadi kerajaan bersama Pakatan untuk melindungi hak
mereka. |