|
PETALING JAYA, 26 Ogos: Pakatan Rakyat tidak
mempunyai keraguan untuk tetap bersatu melawan kemungkaran dan
penganiayaan Umno Barisan Nasional terhadap rakyat.
“Kami beriltizam untuk menentukan hala tuju baru buat rakyat dan
negara ini. Menjelang 53 tahun kemerdekaan, sudah tiba masanya negara
ini meninggalkan politik perkauman sempit yang seumpama barah merosak
masyarakat,” ujarnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan
Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Setiausaha Agung DAP, Lim
Guan Eng dalam kenyataan akhbar Pimpinan Pakatan Rakyat, petang ini.
Menurut mereka, Pakatan Rakyat merasa bertanggungjawab untuk memaknai
kembali Kemerdekaan yang berlandaskan Politik Baru yang lebih matang
dan mengutamakan kemaslahatan rakyat serta negara ini.
Pakatan Rakyat, kata mereka sedar wujudnya satu muslihat politik oleh
pimpinan Umno BN untuk mengapikan sentimen perkauman sempit dan agama
bertujuan memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
Bagi mereka, politik usang bersifat peras ugut dan memesongkan fakta
itu digunakan oleh pimpinan Umno BN kerana mereka berada dalam keadaan
terdesak untuk meneruskan kelangsungan kuasa mereka.
Menurut kenyataan itu lagi, demi mencapai cita-cita politik tersebut,
pelbagai jentera kerajaan seperti BTN dan media seumpama Utusan
Malaysia diperkuda untuk menggugat kesejahteraan rakyat.
Berhadapan serangan bertali arus itu, uajr mereka Pakatan Rakyat
tetap beriltizam untuk melaksanakan perubahan demi kemaslahatan rakyat
keseluruhannya.
“Kita beriltizam untuk memastikan keharmonian dan perpaduan
masyarakat dapat diperteguh serta politik perkauman sempit akan sirna
dari negara ini,” ujar mereka.
Pakatan Rakyat, tambah mereka menghormati perjuangan parti
masing-masing dalam Permuafakatan Pakatan Rakyat di mana permuafakatan
itu sememangnya berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telahpun
disepakati.
Dasar Pakatan Rakyat menyatakan: “Pakatan Rakyat bertekad untuk
menyemai persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berteraskan
prinsip memelihara kepentingan bersama. Perpaduan negara mesti
mencerminkan kesepakatan, persefahaman serta muafakat sejati antara
kaum, budaya dan agama.”
“Kita percaya antara lainnya serangan ini adalah untuk menutup
kegagalan kerajaan Umno-BN menguruskan khazanah negara seumpama skandal
rompakan saham untuk rakyat termiskin bernilai RM52 billion,” ujar
mereka lagi.
Ehubungan itu, mereka menggesa satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan hak rakyat tersebut.
“Kita akui sememangnya terdapat perbezaan di antara komponen Pakatan
Rakyat, walaupun begitu kita tuntas menggalakkan perbincangan dan
bersikap terbuka.
“Ini berbeza sekali jika dibandingkan dengan politik dalaman BN yang
mana komponennya sering bertelagah dan bersikap menyembunyikan segala
permasalahan,” kata mereka.
Sementara itu, pada sidang media di ibu pejabat PKR, Majlis Pimpinan
Pakatan Rakyat mengulangi konsesus bersama, iaitu mengiktiraf Islam
sebagai agama rasmi Persekutuan di samping menjamin menjamin kebebasan
agama-agama lain.
Menurut Anwar yang juga Ketua Pembangkang, sama ada PKR, DAP mahupun
PAS masing-masing menyedari perbezaan ideologi sejak sebelum penubuhan
Pakatan Rakyat lagi.
Namun, katanya lagi, perbezaan itu tidak boleh menjadikan ketiga-tiga
tonggak Pakatan Rakyat itu mengetepikan kezaliman Umno BN ke atas
rakyat sejak merdeka, 53 tahun lalu.
Bercakap pada sidang yang sama, Nasharudin berkata, perbezaan
pendapat berhubung amalan undang-undang syariah di Malaysia bukan sahaja
dihadapi oleh DAP dan PAS.
Malah, katanya negeri-negeri di bawah kerajaan Persekutuan sendiri tidak mengamalkan undang-undang syariah secara seragam.
Sambil menganggap perbezaan pendapat sebagai lumrah, beliau
menasihatkan kerajaan persekutuan supaya terlebih dahulu menyeragamkan
kaedah perundangan syariah di tanah air daripada melaga-lagakan PAS dan
DAP berhubung isu hudud seperti belakangan ini.
Menyambut saranan Nasharudin itu, Lim Guan Eng menegaskan bahawa
keutamaan Pakatan Rakyat adalah menghapuskan politik perkauman dan
kezaliman yang dilakukan Umno BN.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Pakatan Rakyat
menentang kezaliman Umno BN adalah lebih diutamakan daripada
mempopularkan ideologi kepartian masing-masing yang hakikinya adalah
memperjuangkan keadilan |