|
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos: Kerajaan Terengganu perlu
memberi perhatian dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya
terhadap kilang anak syarikat kerajaan negeri yang retak dan mengancam
nyawa pekerja.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad
Nawawi berkata, kilang Top IT Industries Sdn Bhd di Gong Badak yang
bernilai RM12 juta dan mula beroperasi pada 2008 mengalami keretakan
yang membahayakan para pekerja.
“Apa yang menyedihkan dari laporan audit, kilang ini hingga kini
tidak mendapat CF dan beroperasi dalam keadaan amat merbahaya kepada
pekerja-pekerjanya seramai 67 orang,” ujarnya yang juga Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat.
Menurutnya, para pekerja telah mengadu kepadanya secara rahsia
tentang bahaya bekerja di situ kerana berlaku keretakan-keretakan yang
boleh nampak jelas dari luar.
Katanya, bahagian dinding kilang yang dihitamkan merupakan keretakan-keretakan yang kekal yang cuba ditutup.
Tambahnya,
Jabatan Audit Terengganu telah membuat audit dan memaklumkan tentang
keretakan-keretakan yang berlaku itu merupakan keretakan yang kekal
serta boleh memberikan impak yang besar kepada pekerja-pekerja jika
berlaku keruntuhan.
“Jadi, mereka amat bimbang tentang apa yang ada sekarang ini. Dan
jika hari hujan atau ribut akan berlaku juga kebocoran air masuk ke
dalam dan atap kilang ini juga bergoyang jika berlaku tiupan angin,
hujan dan ribut. Jadi mereka bimbang akan berlaku keruntuhan kepada
bangunan ini,” ujarnya kepada media semasa meninjau kilang yang
mengeluarkan e-book itu, semalam.
Bertepatan dengan laporan jabatan audit negeri, beliau mendapati
keretakan itu merupakan kerosakan yang kekal dan memerlukan kepada
pemeriksaan rapi.
Beliau menggesa kerajaan negeri bertindak segera untuk membuat pemeriksaan rapi dengan merujuk kepada laporan audit.
“Bangunan kilang ini sendiri belum mendapat Sijil Akuan Kelayakan
Menduduk Bangunan (SAKMB). Kriteria keselamatan bangunan hendaklah
diluluskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat. Bangunan yang siap
hendaklah mendapat SAKMB. Jadi penemuan auditnya, pelan bangunannya
tidak diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Jadi, apa yang berlaku sekarang ini amat membahayakan nyawa 67 orang
pekerja di kilang Top IT Industries Sdn. Bhd ini dan kebimbangan mereka
ini mereka salurkan kepada kami,” ujarnya. |