|
GEORGETOWN, 27 Ogos:
Tindakan Umno mengapi-apikan isu perkauman dan agama adalah cubaan
menutup skandal kehilangan RM52 bilion saham Bumiputera, kata Lim Guan
Eng.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian
sebagai mengulas isu perkauman yang cuba dihangatkan Umno pada pada
waktu ini.
"Mereka mengapi-apikan pelbagai isu perkauman supaya menutup skandal RM52 bilion.
"Dari
RM54 bilion yang diberikan kepada Bumiputera sekarang hanya tinggal RM2
bilion sahaja," ujarnya semalam selepas mesyuarat Majlis Pimpinan
Pakatan Rakyat.
"Itulah sebabnya mereka mainkan isu-isu berkaitan agama dan perkauman ini, supaya isu sebenar boleh ditutup."
Sambil
mendakwa Umno mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu dan
Bumiputera, Setiausaha Agong DAP itu turut mempersoal keengganan Umno BN
untuk menubuhkan suruhanjaya diraja menyiasat punca ekuiti Bumiputera
tinggal RM2 bilion sahaja.
"Siapa yang kebas RM52 bilion saham Bumiputera ini, tentulah Umno BN.
"Adakah
disebabkan itu, mereka tidak mahu menubuhkan suatu siasatan suruhanjaya
di raja," soal beliau di Ibu Pejabat PKR, Tropicana, Petaling Jaya.
Sehubungan
itu, beliau menganggap DAP, PAS dan PKR atas muafakat Pakatan Rakyat
wajar bersatu untuk menentang permainan politik Barisan Nasional itu.
"Kita boleh bersatu melawan kemungkaran yang dicerminkan oleh Barisan Nasional, baik Umno, MCA atau MIC," katanya lagi.
Sidang
media tersebut turut disertai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit
Siang.
Sebelum pada itu, beliau turut mengaku bahawa beberapa
pemimpin DAP memang mempunyai perbezaan pendirian berhubung cadangan PAS
melaksanakan hudud.
Namun, katanya itu hanya perkara kecil dan
Pakatan lebih mengutamakan agenda menentang kemungkaran yang dilakukan
dalam Umno BN dari mempopularkan idealogi kepartian masing-masing.
29 Mac lalu, Guan Eng di Dewan Rakyat mempersoal integriti Umno BN ekoran kehilangan RM52 bilion itu.
Persoalan
itu lanjutan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri merangkap
Menteri Kewangan mendedahkan bahawa ekuiti Bumiputera hanya tinggal RM2
bilion sahaja.
Menurut Guan Eng juga, ekuiti Bumiputera mampu
meningkat sebanyak 45 peratus melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) sekiranya
Umno tidak mengkhianati amanah rakyat, khususnya orang-orang Melayu.
|