|
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Kerajaan mempertingkatkan
Intergriti dan Kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam langkah
memerangi rasuah dinegara ini. Laporan Berita Harian pada hari ini
mengenai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa kalangan penguatkuasa
Imigresen di Pulau Ketam adalah antara contoh kelemahan sistem
pentadbiran negara.
Kebanjiran warganegara asing tanpa izin yang
dilaporkan melebihi melebihi 2.1 juta orang merupakan ancaman besar pada
negara. Tetapi amat malang kerana kehadiran mereka turut didalangi oleh
penguatkuasa imigresen yang sepatutnya mengawal kemasukan warganegara
asing ke negara ini.
PAS amat kecewa dengan laporan ini dan mahu
Menteri Dalam Negeri dan Pengarah Imigresen mengambil tanggungjawab
meletakan jawatan dan penguatkuasa yang tidak amanah ini dipecat segera.
PAS
yakin bahawa rakyat masih belum melupakan insiden 20 tahanan warga
Afghanistan yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal bulan ini dan kes 16 lagi
tahanan yang berjaya melepas diri di depoh yang sama awal tahun ini.
Kelemahan
urustadbir Imigresen menjejaskan kredibiliti keselamatan negara. PAS
mahu rombak besar dibuat dalam organisasi Imigresen dan mahu SPRM
membuat siasatan penuh kepada agensi ini dan beberapa agensi
penguatkuasaan lain.
PAS juga mahu kenyataan bekas Ketua Pengarah
Biro Pencegahan Rasuah-BPR (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia-SPRM), Datuk Shafee Yahaya yang mengatakan terdapatnya
orang-orang politik dalam pentadbiran Kerajaan yang menjadi punca dan
mengetuai aktiviti rasuah dan penyalahgunaan kuasa selama ini disiasat.
SPRM
seharus menjadi sebuah badan yang bebas dan berani bertindak kepada
mereka yang melanggar amanah rakyat termasuklah kalangan wakil rakyat
dan Menteri. Kerajaan perlu serius untuk meningkatkan keupayaan SPRM
dengan menambahkan kuasanya, meningkatkan jumlah anggota penyiasat serta
membekalkan peralatan logistik yang sewajarnya.
PAS yakin,
begitu banyak amalan rasuah yang berleluasa dalam agensi Kerajaan kerana
setiap tahun Laporan Audit Negara pasti akan membentangkan
kecurangan-kecurangan yang sukar diterima rakyat. Oleh itu setiap
Kementerian dan Jabatan Penguatkuasaan perlu melantik satu jawatankuasa
khas membanteras rasuah bagi membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM
serta meningkatkan intergriti jabatan mereka.
PAS menasihatkan
agar para penjawat awam meningkatkan intergriti mereka dan menunaikan
amanah rakyat dengan sebaiknya. Tidak semua penjawat awam mengamalkan
rasuah tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. PAS yakin,
amalan rasuah dan kecurangan intergriti ini akan dapat dihapuskan jika
pemimpin yang menguruskan kerajaan ini terdiri dari orang-orang yang
amanah kerana ikan yang busuk hanya bermula dari kepalanya.
Ust. Idris Ahmad Ketua Penerangan PAS Pusat. |